nuffnang's ads

Tuesday, August 25, 2009

INTERVIEW OH TEMUDUGA...

Banyak juga cerita yang hendak diceritakan semenjak saya kurang aktif mem'blog'ing beberapa bulan lalu sejak posting terakhir saya tentang peluang. Pada awal bulan Julai lalu saya telah dipanggil untuk Temuduga Jawatan Perkhidmatan Awam yang telah saya pohon tahun lepas. Keputusannya hanya diketahui bulan lepas. Kemudian pada akhir Julai pula saya dipanggil menghadiri Temuduga untuk Jawatan yang saya pohon di sebuah IPTA. Berturut turut pergi Temuduga. Hasilnya amat mengecewakan pada peringkat permulaan.

Yang pasti saya amat kurang keyakinan diri semasa di temuduga (pada pendapat saya) kerana dalam banyak banyak perkara, temuduga jawatan lah yang paling merisaukan saya. Salah satu soalan perangkap yang saya tidak dapat jawab semasa temuduga pertama ialah berapa ramai jumlah anak-anak karyah dibawah Masjid awak? Bukan saya tak boleh tipu, cuma tak teringat nak tipu sahaja. Kalau saya beri satu amaun atau jumlah pun si Penemuduga bukan tau pun... cuma tak teringat. Dalam temuduga pertama saya agak gementar walaupun usia sudah meningkat dewasa. Alhamdulillah, isteri banyak memberi perangsang... dalam temuduga kedua saya sudah ada keyakinan yang tinggi dalam menempuh masa empat puluh lima minit ditemuduga tersebut. Cumanya temuduga kedua, saya tidak berjaya kerana kelulusan sarjana saya tidak menepati ciri ciri yang IPTA tersebut hendakkan. "Kau dah tau kau tak nak ambik... janganlah panggil Interview" rungut isteri saya. Komen saya tentang interview yang kedua itu ialah, saya boleh memanipulasi kelulusan sarjana teknologi maklumat yang saya pegang untuk menjawat jawatan tersebut. Dalam zaman serba canggih sekarang ini apakah ustaz yang berkelulusan IT tiada ruang untuk berkhidmat? Mungkin kalau ada interview ketiga akan saya ceritakan dari A sampai Z. Dari sumber yang layak dipercayai, dari temuduga tersebut tidak ada seorang pun diambil oleh IPTA tersebut. Saya terima dengan hati terbuka kekecewaan tersebut.

Alhamdulillah temuduga saya yang pertama telah berjaya. Keputusan yang keluar bulan lepas hanya sebagai calon simpanan. Kemudian ketika semua calon simpanan dipanggil melapor diri pada 13 ogos 2009 yang lalu... nama saya masih lagi sebagai calon simpanan. Hari Jumaat 21 Ogos 2009 adik saya menalipon mengatakan saya diterima masuk ke JAKIM. Saya terima dengan dada yang lapang walaupun panggilan ketiga... atau maksudnya 'simpanan dari simpanan'. Saya menalipon rakan yang telah melapor diri si Putrajaya.. mereka mengatakan ada 3 individu menolak jawatan tersebut. Sebagai ganti mereka memanggil saya...agaknya lah.

Menerima jawatan tersebut bermakna saya akan berjauhan dengan keluarga untuk tempoh yang panjang kerana jarak diantara rumah saya dengan tempat yang ada jawatan seperti ini paling hampir pun ialah 70KM. Saya mungkin memilih untuk berkhidmat di Seremban kerana masalah tempat tinggal. Yang penting masuk kerja dahulu. Pun begitu saya dan isteri sedang merancang strategi terbaik untuk kami sekeluarga... yang itu rahsia.

Menariknya, saya belum memaklumkan kepada semua orang di tempat kerja sekarang tentang tawaran kerja terbaru saya ini. Saya memikirkan untuk memberitahu mereka pada saat saat akhir nanti. Beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu. Saya menganggap tawaran tersebut belum 'formal' lagi kerana tiada apa apa surat yang saya terima dari pihak JAKIM. Saya menyerahkan segala galanya kepada Allah.... sekiranya ini ketentuan yang terbaik buat diri saya, saya akan bekerja, menyumbang tenaga dan idea sehingga saya bersara. InsyaAllah. Selamat Berpuasa untuk Semua... semoga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik untuk kita semua.

Tuesday, August 18, 2009

PENGALAMAN NGERI

Saya bertolak dari rumah sekitar pukul 5:15 pagi. Subuh dijadualkan pada pukul 5:50 pagi. Sesampainya saya ke simpang di jalan besar Gemas-Segamat sebuat kereta Kembara memotong saya dengan agak laju. Saya tahu dihadapan ada lampu isyarat dan saya memang dah bercadang untuk terus sahaja jalan walaupun lampu merah. Kembara yang memotong saya tadi terus bergerak laju dan sampai di persimpangan lampu isyarat yang saya maksudkan itu saya lihat dengan mata kepala saya pemandu kenderaan tersebut mem'brek' dan melanggar tiang lampu isyarat sebelum melayang dan terbalik disisi jalan. Ya ALLAH!!

Saya amat terkejut dengan apa yang berlaku. Bila kita tidak bersedia menghadapi sesuatu situasi yang tidak disangka sangka... ditakdirkan Allah kita menghadapinya pada ketika kita tidak bersedia itu...sudah kita panik. Sebagai kereta yang pertama sampai ditempat kejadian (pukul 5 pagi memang tak banyak kereta) saya seolah olah dipaksa berhenti walaupun tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Cuma yang saya ingat saya menggenggam talipon untuk mendail nombor 911. Apabila saya keluar dari kereta saya lihat sipemandu sedang cuba membuka pintu kenderaannya yang terbalik. Dan sebuah lagi kenderaan kebetulan lalu telah berhenti untuk membantu. Perkara yang pertama tergambar di fikiran saya (melihat dari keadaan dan cara kereta itu terbabas) ialah kecederaan parah atau kematian. Tetapi saya lihat si Pemandu tersebut cuba membuka pintu keretanya dan mengeluarkan pelbagai barangan peribadinya dari kereta. Apabila saya tanya macamana keadaannya dia mengatakan di OK. Tiada penumpang lain dalam kereta tersebut. Alhamdulillah kata saya dalam hati. Tak lama kemudian seorang lagi penunggang motor sampai ketempat kejadian dan memungut kesan kemalangan yang bertaburan ditengah jalan... kaca, lampu isyarat etc... Saya diminta menghubungi balai polis tempatan tetapi nombor yang diberi oleh penunggang motor itu salah. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk ke balai polis membuat laporan. Sampai di balai, saya dapati pintu balai ditutup (tidak berkunci) dan nombor talipon balai polis tertera di luar pintu pagar tersebut. Saya merasakan saya masih lagi sempat pergi ke masjid untuk bertugas jadi saya cuma menalipon balai tersebut memaklumkan tentang kejadian.

Sepanjang perjalanan saya ke tempat saya bertugas saya membuat kesimpulan.

1.Talipinggang keledar hendaklah sentiasa dipakai... pemandu tersebut terselamat kerana memakai talipinggang keledar.(dengan izin Allah)

2. Kalau terlampau mengantuk mesti berhenti... saya pasti kemalangan tersebut berpunca dari terlampau mengantuk

3. Simpan nombor talipon balai polis terdekat

4. Jangan langgar isyarat lampu merah.... saya selalu langgar lampu merah kalau dah pukul 4, 5 pagi....

ingattt........