nuffnang's ads

Thursday, June 25, 2009

MENGAMBIL PELUANG

Bercerita tentang peluang saya ada beberapa perkara berkaitan 'peluang' yang hendak dirangkumkan menjadi satu. Peluang yang datang bukan selalu, jadi bila ianya tiba maka mesti direbut agar tidak kempunan.

Peluang yang pertama, tentang pemergian saya ke Sarawak selama 4 hari pada 6 hingga 9 Julai yang akan datang...InsyaAllah. Isteri saya akan membentangkan satu kertas kerja di The International Conference on IT in Asia (CITA) di Hotel Hilton, Kuching. Pada peringkat permulaannya dia hendak pergi bersama kawan-kawan tetapi tidak ada pula kawan-kawan lain yang menyertainya. Kemudian saya dimaklumkan bahawa dia akan ke sana bersama adik perempuannya.... dipendekkan cerita adik ipar saya pun tidak dapat menyertai isteri saya ke Sarawak. Maka saya dengan berbesar hati dan rela hati bersetuju untuk menemankan isteri sepanjang 4 hari di Sarawak. Dua bulan lepas saya telah membeli tiket pergi balik Kuching-Kuala Lumpur berharga RM260.00. Tiket dan penginapan isteri telah ditanggung sepenuhnya oleh Universiti tempat isteri bekerja. Ada pun keberadaan saya di sana adalah atas tanggungan sendiri....nasib baik kosnya tidak terlampau mahal. Inilah peluang saya untuk ber'HoneyMoon' lagi dengan isteri.

Penginapan saya bersama isteri ialah di sebuah Hotel bersebelahan Hilton Kuching... lupa nama Hotel. Ceritanya bertambah menarik apabila saya terfikir .. alang alang saya dah berada di Kuching, mengapa tidak mendaftar sahaja sebagai peserta seminar. Apa yang digerunkan ialah yuran pendaftaran sahaja RM1000.00. Macam-macam benda dan perkara yang boleh diselesaikan dengan RM1000.00 tersebut. Isteri memberikan Idea supaya minta dari Jabatan tempat saya bekerja. Sekali fikir memang tidak masuk akal kerana bidang pekerjaan saya dari gred 'S' atau sosial yang samasekali tidak terlibat dengan Teknologi Maklumat ditambah lagi dengan nama jawatan saya, "Pegawai Hal Ehwal Islam" yang macam langit dengan bumi jika dibandingkan dengan Teknologi Maklumat.

Seterusnya apabila ditimbang timbang, kalau tidak cuba... jawapannya sudah pasti negatif. Saya membuat satu kertas cadangan untuk dikemukakan kepada setiausaha sebuah Badan yang sering memberi bantuan kepada pihak pihak yang memerlukan. Saya kemukakan bersama sijil sarjana Teknologi Maklumat saya dari UiTM dan saya pastikan saya berpeluang mengemukakan permohonan tersebut secara individu. Tujuannya ialah agar saya dapat bercerita dengan panjang lebar lagi. Alhamdulillah, reaksi pegawai yang menerima kertas cadangan saya itu sangatlah positif. Saya dah terbayang peluang menyertai Seminar antarabangsa yang saya tak pernah ambil bahagian sebelum ini. Dalam kertas cadangan saya itu saya sertakan juga kos tambang (tiket)pergi balik yang telah saya beli. Pun begitu saya tidak berapa yakin permohonan tambang itu akan diluluskan. Usaha dah, doa pun sudah.... tawakkal sahaja lah.

Kelmarin 23 Jun 2009, saya menalipon ke Badan Bantuan tersebut dan khabar yang menggembirakan saya terima. Permohonan saya telah diluluskan, tanpa ada potongan dari jumlah yang saya minta....Alhamdulillah. Saya diarahkan datang ke pejabat untuk mengambil cek. Peluang saya untuk ke Sarawak tanpa menggunakan wang saku terbuka luas. Lebar senyum isteri saya, kerana kami memang banyak menggunakan wang sekitar dua bulan kebelakangan ini kerana akan menyiapkan kelengkapan rumah yang baru dibeli awal tahun ini. Walaubagaimanapun saya amat bersyukur kerana dapat peluang ini serta berusaha menjadi 'peserta' berjaya. (Okay la tu...belum ada peluang lagi nak jadi 'Papers Presenter')

Perjalanan saya ke Seremban bermula seawal 7.00 pagi, bersemangat untuk mengambil cek tersebut. Akuarium adalah salah satu keperluan yang disenaraikan untuk rumah baru kami...jadi pemergian saya ke Seremban adalah satu peluang untuk membawa balik sebuah akuarium yang berukuran 4 kaki. (di sebuah kedai yang kami sudah tengok kondisinya minggu lepas) Tetapi, disebabkan ketiadaan stok maka pembelian akuarium tersebut terpaksa di tangguhkan. Saya terpaksa bergegas pulang ke Gemas kerana telah berjanji dengan isteri untuk mengambil anak anak dari sekolah sekitar pukul 11:30 pagi. Dalam kelam kabut nak pulang isteri pula memberitahu bahawa dia akan mengambil anak anak dari sekolah. Ahhh.... lega rasanya kerana tidak perlu bergegas ke Gemas. Sekali lagi saya mengambil peluang..... Kali ini saya pergi menziarahi kedua ibubapa di Senawang. Sesampai di sana, saya bertemu dengan adik lelaki saya di rumah. Katanya dia dan isteri sudah 3 hari tidak bekerja atau ke pejabat. Adik saya seorang pensyarah di sebuah IPTA. Semuanya gara gara mereka dalam proses berpindah ke kampus baru.. dan bilik mereka masih belum disediakan lagi oleh pihak pentadbir. Saya berkata dalam hati, "Wahhh! ini lagi gila punya peluang!.. Saya pun nak jadi pensyarah kalau macam ini" Sedang saya makan durian saya dikejutkan oleh Ibu saya tentang pihak tertentu yang mengambil peluang semasa kenduri perkahwinan adik saya minggu lepas. Emak cerita tentang kereta saudara saya yang datang menghadiri kenduri telah dipecah oleh orang yang mengambil peluang semasa semua orang lain sibuk dengan kenduri kendara... semata mata kerana sebuah beg 'Laptop'. Hakikatnya bukan Laptop yang berada dalam beg tersebut, hanyalah sebuah Al Quran. Al Quran yang saudara saya (Kaklang Abang Wahab) guna untuk belajar di sebuah IPTA. Menariknya sipencuri telah tercuri sebuah Quran mudah mudahan dia berpeluang untuk bertaubat. Polis mengatakan bahawa mereka telah banyak menerima laporan tentang kejadian sebegini. Polis mengesyaki orang yang sama melakukan jenayah ini kerana Modus Operandi nya lebih kurang serupa. Terbang duit mereka mengganti cermin sebanyak RM70.00.

Begitulah kisahnya....... dalam pada saya mengambil peluang rupa rupanya ada insan lain mengambil peluang juga. Wallahua'lam.

No comments: