nuffnang's ads

Friday, January 30, 2009

KAWAN

Sebagai manusia kita memang tak boleh hidup sendirian. Memang menakjubkan kalau kita boleh hidup tanpa kawan. Saya rasa saya mempunyai ramai kawan yang majoritinya lelaki. Akhir akhir ini saya sering teringatkan semua kawan-kawan lama saya terutama kawan baik saya yang dah empat tahun hilang..... Baru baru ini saya ke Batu Kikir bertemu dengan kawan lama satu sekolah menengah. Beliau baru bertukar ke sebuah sekolah di Batu Kikir selepas bertugas selama belasan tahun di Sarawak. Saya dah lama tidak bertemu dengannya tapi bila bertemu kemesraan kami masih macam dahulu.

Saya masih ingat ketika menuntut di sebuah sekolah Agama di Kedah kami menyewa sebuah rumah dan tinggal bersama selama 3 tahun. Akhir 80an apa lah sangat yang ada. Sewa rumah Rm100 dan dibahagi 5 orang... baru Rm20 seorang. Tetapi duapuluh ringgit pun susah nak cari masa tu. Ketika itu kami sebuah rumah saya, S*****l, A***r, S****n dan L***i berkawan juga dengan budak budak bujang di sekitar kawasan kami. Masih saya ingat ketika itu duit belanja saya lebih kurang Rm60 - Rm80 sebulan. Begitu lah average duit kami (bukan duit sendiri pun, emak ayah yang kirim) yang pada masa itu sekali pandang memang sikit sangat tetapi dengan duit ini lah kami menyara hidup di sana. Ketika itu kos sara hidup di Kedah belehlah dikatakan murah. Seperkara lagi, kami memang sering memastikan bekalan beras mencukupi untuk sebulan. Lauk nombor dua. Pernah kami di tegur oleh Ayub (budak jual burger di tepi simpang) "Aku kesian tengok hampa makan nasik lauk teloq buh 'toyu' .. paih tu makan dengan pucuk kari" La... memang la kesian. Yang saya ingat Ayub tu dah lama meniaga burger, sehari income dia ada dlm Rm50 kot kalau tak silap. Kira orang kaya la tu. Kami kehulu kehilir naik bas, Ayub dah banyak kali tukar motor. Kami memang biasa makan nasi lauk telur mata kerbau letak kicap dan petik pucuk pokok kari jadi ulam. Sekarang, bila saya cuba untuk makan pucuk daun kari... pahit!! Macamana saya boleh makan dulu..? Antara yang sering berkunjung kerumah kami ketika itu Din (tak ingat nama sebenar) Tobiarq, Achik dan dua orang pekerjanya Din dan Salleh. Ada lagi sebenarnya tapi saya tak ingat nama. Kawan kawan kami yang sering berkunjung kerumah ini boleh dibahagikan kepada 2 kategori, kawan yang boleh pakai... dan kawan yang tak boleh pakai.

Dalam ramai ramai kawan kami cuma yang boleh dibuat kawan ialah Achik... Rambut panjang macam rocker Rahim Maarof (rupa dia pon sebijik) Yang saya ingat Achik ni datang kerumah kami biasanya untuk sembahyang sebab dia ada kedai makan di kawasan belakang rumah kami. Yang lain lain tu hanya lah kawan yang mengambil kesempatan. Pun begitu, kami masih lagi melayan mereka dengan baik. Kami tak pernah melihat mereka bersembahyang kecuali hari Jumaat. Itu bab sembahyang...

Tobiarq seorang yang sering ke sempadan Thailand melanggan perempuan perempuan tepi jalan... juga pernah kami tangkap menghisap ganja dalam bilik yang ditutup rapat, Din #1 juga seorang kaki perempuan dan sering kerumah kami ketika tak ada duit... pernah suatu ketika, pada masa kes 'Labu Peram Pak Man Telo' sedang hangat diperkatakan batang hidung si Din #1 ni tak kelihatan langsung. Pada masa itu dia bersama abang nya menjadi ejen skim tersebut dan hidup seperti orang kaya. Tup tup bila skim tersebut musnah muncul lah si Din #1 ni semula, di rumah kami.

Din #2 dan Salleh, pekerja kepada Achik.... mereka berdua adalah orang yang lurus. Masalahnya mereka tidak seperti bos mereka.. berkaitan solat lima waktu. Kehidupan mereka saya perhatikan seolah tidak ada masa depan... kerana gaji mereka dibayar minggu keminggu. Setiap kali dapat gaji setiap kali itu juga lah mereka berbelanja besar. Walaupun begitu saya dan rakan serumah tetap membuka pintu setiap kali ada kenalan yang ingin menumpang. Kini saya dan mereka telah lama terputus hubungan dan saya berdoa mudah mudahan mereka telah mendapat petunjuk dan hidayah dari Allah untuk menjadi manusia yang berguna.

Pernah kami berkawan dengan DJ pasaraya di Alor Setar, Fairuz dan Garry. Fairuz (anak mami.. yang playboy & hensem), yang terakhir saya dengar dia masuk RTM... Garry Wilson (India seremban... S****n panggil dia India Murtad) pulak saya tak pasti adakah Garry di sebuah stesen radio swasta... adalah Garry yang saya pernah kenal dulu. Kedua dua DJ ni biasa tidur di rumah sewa kami. Yang saya masih ingat rumah sewa tersebut hanya ada TV dan radio serta dapur..... tak lupa juga papan Karom.

Antara kami berlima, saya, S***m dan L***i berjaya menjejakkan kaki ke Mesir menyambung pengajian peringkat ijazah. A***r , diserang sakit dan tidak pergi ke Mesir (walaupun layak) tapi meneruskan pengajian di MPI...posting ke Sarawak, sekarang baru bertukar ke Batu Kikir. S****n, jatuh cinta dengan gadis Alor Setar dan terakhir saya dengar dia bekerja di Sg Petani. Mereka inilah antara kawan baik saya yang sama sama hidup di rantau orang ketika di awal usia remaja.

Mungkin jikalau mereka ini menalipon mengatakan "eden nak jumpo kau.. sekarang" Maka saya akan segera mencari jalan untuk memenuhi pelawaan mereka. Makasudnya kalau ada urusan saya akan tangguhkan urusan tersebut... kalau ada kerja kerja yang bukan melibatkan hidup dan mati, saya akan cuba untuk pergi ... Yang membuatkan saya terpanggil bercerita tentang 'kawan' ialah baru baru ini saya menerima panggilan dari A****n, juga seorang kawan lama (bukan kawan baik).... kepingin nak berjumpa saya di sekitar kawasan saya bertugas sekitar pukul lapan malam. Sebelum ini saya jarang menolak pelawaannya untuk bertemu, tetapi kali ini saya tolak mentah mentah. Pada masa itu saya dan keluarga hendak ke bandar untuk urusan keluarga. Mungkin dia terasa, tapi apakan daya. Berkawan dengan A****n ini bukanlah sesuatu yang menguntungkan bahkan saya pernah rugi ketika berkawan dengannya. Dia seorang kawan sama pernah menutut satu Universiti tetapi seorang yang suka berahsia... sangat berahsia. Dia sendiri hendakkan kehidupan yang privasi tapi kadang kadang dia tidak terpikir bahawa orang lain juga mahukan privasi. A****n ini pada hemat saya berkawan hanya sekiranya seorang itu berkepentingan kepadanya. Mulanya saya agak ralat jugak ketika menolak pelawaannya untuk berjumpa tapi dari satu sumber yang boleh dipercayai memang betul dia berminat untuk menggunakan saya (dengan kedudukan yang ada pada saya, alaa... bukan kedudukan apa pun...cuma kedudukan sebagai seorang imam masjid sahaja) untuk mencari Downline MLM yang sedang dia usahakan (sehari selepas itu saya diberitahu). Itulah dia A****n yang saya kenal..seorang yang sering mengambil kesempatan. Dia memang seorang yang yang rajin berniaga....tetapi hanya untuk perniagaan yang mendatangkan hasil betul betul lumayan (5, 6 angka), bukan kecil kecilan yang sekadar seratus sehari... ataupun dua ratus. Saya bertekad untuk tidak memberi ruang kepada kawan yang sebegini.... mungkin sekadar sekali sekala berSMS tanya khabar sahaja apalah salahnya.. tapi setakat itu sahajalah.

Sekarang, saya akan terus berkawan... jauh sekali memutuskan persahabatan yang pernah terjalin. Pepatah arab ada mengatakan kalau nak tengok kawan dalam ertikata sebenar, pergilah berkelana dengannya di situlah jawapannya. Samada dia sanggup susah senang bersama. Kalau sanggup, tahniah! Itulah kawan sebenar.

Hakikatnya................. I'm happy with my life.... sekarang, especially di sisi isteri tercinta, anak anak dan keluarga tersayang. Tak ada seorang antara mereka yang cuba mengambil kesempatan ke atas saya.

** Next entry saya nak cerita tentang kawan sama belajar satu Universiti. (hopefully)

* Toyu
= kicap

Tuesday, January 13, 2009

JATUH CINTA

Mungkin sudah jodoh kita ditakdirkan bertemu selepas 6 tahun melayari bahtera perkahwinan bersama insan bernama isteri. Dikurniakan pula 2 puteri serta 2 putera yang comel belaka. Kenapa setelah saya bahagia bersama isteri tercinta dia muncul dalam hidup saya. Saya mengenalinya hanya setelah isteri memperkenalkan saya kepadanya. Mengapa kita dipertemukan sebelum saya kenal isteri saya? Mengapa tidak kita dipertemukan 7 tahun dahulu? Mengapa mesti isteri yang memperkenalkan saya kepadanya??? Mengapa mesti dia berasal dari Johor juga.... walaupun namanya ada iras iras Indonesia, saya pasti dan yakin dia berasal dari Johor. Suratankah atau kebetulan... dia dan isteri berasal dari Johor?

Pertama kali diperkenalkan oleh isteri semasa di Jementah. Kemudian saya terus sentiasa merinduinya. Kadang kadang hampir tak dapat tidur mengenangkannya. Tidur tak lena mandi tak basah. Saya pernah ke Muar beberapa tahun dahulu semata mata untuk menemuinya tetapi tidak kesampaian. Saya sangka saya bertemu dengannya tetapi sebenarnya bukan dia. Dua bulan lepas saya pernah ke lokasi yang sama sekali lagi tetapi pulang tanpa dapat bertemu dengannya kerana tiba tiba isteri mengadu keletihan yang amat sangat. Mungkin isteri saya sudah dapat mengagak apa yang mahu saya lakukan. Saya tidak berputus asa.....

Semalam, setelah lebih enam tahun merindui mee bandung Muar, akhirnya saya dapat juga rasa kehebatannya di sebuah kedai 'ABANG SAYANG' dipinggir sungai Muar. Itupun setelah saya bertanya kepada seorang staff stesyen Petronas di sana. Ada satu kedai lagi katanya di tingkat atas bangunan Mara Muar. Lain kali saya akan kesana.

Banyak jenis makanan yang menjadi kegemaran saya samada local atau international, kalau yang local ... makanan yang dibuat oleh emak (masak lomak cili api) dan emak mertua saya (Ikan masak asam pedas/rebus). Kalau diflashback ketika menuntut di Mesir antara makanan yang menjadi kegemaran saya ialah KABAB di Maidan el Geish, Abbasiah. Orang yang bertanggung jawab memperkenalkan saya pada Kabab di sini ialah Ustaz Hasbullah... Saya masih ingat 1st time makan di sana, ketika saya bertanya kepada Ustaz Hasbullah tentang daun daun hijau dibawah daging Kabab itu boleh dimakan atau tidak. Jawapannya ialah, daun itu hanya hiasan dan untuk menghilangkan bau kambing pada Kabab, tapi menjadi kebiasaan orang arab memakannya. Tak sempat habis Kabab saya dah habiskan daun tersebut. Bayangkanlah, kalau dah daun yang menjadi hiasan saya sanggup habiskan, apatah lagi daging yang enak dihias diatas pinggan. Kabab di Mesir ialah, daging kambing yang dibakar dengan arang dan dimakan dengan sos tahinah (bijan) dan shattah (lada) serta dimakan bersama roti 'aisy (roti macam roti pita). Daging kambing/kibash tersebut hanya diperam dalam bawang,tomato campuran daun-daun hijau selama 2- 3 jam kemudian dibakar macam sate di Malaysia. Kebab yang dijual dipasar-pasar malam (di sini) bukan lah Kabab yang menjadi kegemaran saya semasa belajar dulu. Kalau ada duit lebih saya akan selalu ke Maidan el Geish untuk makan Kabab especially bila ada wang lebih... masuk.

Satu lagi menu istimewa ialah firakh masywi (ayam panggang) di Maidan Abbasiyah. Kalau tak mampu nak makan Kabab (sebab kemelepetan ekonomi... duit tak ada) saya selalu mengunjungi kedai ayam panggang di sini. Rasa-rasanya cara pembuatannya lebihkurang cuma ditukar daging kibash ke ayam sahaja. Harga kabab kalau tak silap dulu
L.E 20 (Egyptian Pound) sekilogram. Biasanya kalau nak kenyang kena lah order dua atau tiga kilo. Berbanding ayam panggang hanya L.E. 7 sebelah ayam. Cara makan pun sama. Alahai, meleleh air liur bila diingat ingat. Lebih menggiurkan lagi bila dimakan dengan Turshi (sayuran jeruk). Mak mertua lalu belakang pun tak perasan. Dulu, semasa saya sering berulang alik ke Makkah, perkara ini tak ketara sangat kerana saya dapat melepaskan rasa gian makan makanan arab disana. Pernah saya makan kabab di kaki Jabal Nur Makkah... pagi hari kadang kadang saya sengaja tak sarapan di hotel hanya kerana hendak makan kacang ful dan roti 'eisy dan to'miah. Tapi, tahun 2009 ini sudah empat tahun saya tidak ke Makkah. Insyaallah akan tiba masanya.

Itu dulu, sekarang saya obsess dengan mee bandung Muar pula. Walaupun banyak makanan lain menjadi kegemaran saya tetapi ketika berada berhampiran negeri Johor ini saya berminat kepada mee bandung ini. Saya pernah tertipu dua tiga kali dalam usaha memuaskan nafsu mee bandung saya ini.... kalau tak silap saya di Batu Pahat saya memesan mee bandung tetapi yang sampai entah mee apa entah, mee siam agaknya. Di Muar ada sekali, ketika baru-baru kawin dulu mee bandung yang diorder, mee manis gula yang sampai. Mak mertua saya pula, ada ke patut di Kuala Pilah diordernya mee bandung..... bayangkan lah jenis mee yang sampai? Tak mee Pilah.

Moral of the story, nak order makanan kena tengok tempat juga. Kalau di kedah jangan order mee bandung... ,minta lah Laksa. Begitu juga di Kota Bharu minta lah nasi kerabu ke nasi dagang ke. Jangan di order masak lomak cili api. Di pihak saya pula, walaupun tersalah order... saya tetap akan makan seperti biasa. Menurut isteri saya, kelebihan ini telah turun kepada anak saya yang lelaki, Umar..... hampir semua yang dihidangkan kepadanya akan diselesaikan dengan penuh rasa hormat. Itu yang ayah saya ajar, "bongah, makan jangan memilih milih... Kita jadi orang pangkal ni kono lapun apo yang orang hidang" Kebetulan position saya buat masa sekarang meletakkan saya di hadapan (pangkal) bersama orang orang kenamaan. Alhamdulillah!


**Makanan di Mesir semua sedap, PizzaHut (dulu la, sekarang dah boikot) Sandwich Firakh Baniah di babai (popoye), Sandwich Kibdah di akhir mahattah haiyu sabiek, Kuftah, Hamam masywi di Hussain, To'miah bil baidh, Shawarma dan firakh di bawah kubri 'atabah, pizza plus di 'Abba 'aqqad (buy 1 free 1).... aduhai. Jom kita pegi Mesir.

Friday, January 9, 2009

CERAMAH MA'AL HIJRAH 1430

InsyaAllah pada malam ini akan diadakan ceramah Agama di Masjid Jamek Pekan Gemas. Ini adalah program sulung masjid ini untuk tahun 2009. Mudah mudahan lebih banyak program pemantapan rohani bakal menyusul selepas ini.

Pada malam ini penceramah jemputan ialah Al Fadhil Ustaz Mahfuz Muhammad Al Khalil dari Kuala Lumpur. Beliau adalah kenalan saya, kami sama-sama menuntut di Universiti Al Azhar, Mesir. Walaupun tidak berapa rapat tetapi saya pernah mengunjungi beliau beberapa kali di pejabatnya (Wangsa Maju) sebelum saya ditugaskan menjadi Pegawai Hal Ehwal Islam.

Usaha untuk menjemput beliau berceramah memang telah lama saya 'list'kan dalam 'things to do' saya. Alhamdulillah hampir terlaksana. Apa yang menarik, ialah Al Fadhil Ustaz Mahfuz adalah antara individu yang begitu tersohor menegakkan kebenaran menentang kebangkitan fahaman yang pada mata saya nampak begitu islamik tetapi pada hakikatnya ialah fahaman yang bertentangan pengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ). Yang paling ketara buat masa ini ialah Wahabisme dan syiah. Sedar tidak sedar telah ramai rakyat malaysia yang telah terjebak dengan fahaman ini. Lebih menyedihkan antara golongan yang terpengaruh dengan fahaman ini, golongan intelektual dan golongan remaja. Mudah mudahan seluruh ahli karyah Gemas tidak ketinggalan menghadiri majlis ceramah pada malam ini.

Saya merasa terharu apabila Al Fadhil Ustaz bersetuju untuk datang ke tempat saya yang jaraknya ke Kuala Lumpur lebih kurang 200Km. Ketika saya tanya tentang 'yuran', beliau menegaskan bahawa beliau tidak menetapkan yuran yang tertentu dalam misi dakwah beliau. Tak tahu macamana sambutan ahli karyah pada malam ini tetapi pihak Ahli Jawatankuasa membuat persediaan untuk lebih kurang 250 orang. Tambah meriah lagi ialah apabila ada individu yang menderma 2 ekor kambing serta wang tunai. Semua itu adalah untuk jamuan selepas ceramah. Semenjak saya bertugas disini sudah acapkali Masjid menganjurkan program yang dilakukan secara gotong royong. Menarik bagi saya kerana sebelum ini kebanyakan program masjid di lakukan secara kontrak oleh kontraktor kontraktor bertauliah. Antara program yang wujud dalam list saya ialah program korban kelompok. Ianya sudah lama tidak dilakukan disini memandangkan kurang persefahaman dikalangan AJK dan Ahli Karyah.

Doa saya ialah agar semua program yang bakal diadakan di Masjid ini terus mendapat sambutan dan berjalan dengan baik. Amin Ya Robb!!!

Wednesday, January 7, 2009

APA ADA DENGAN PERKAHWINAN

Selepas solat subuh hari Jumaat minggu lepas, seorang pemuda yang tak dikenali approach saya ketika sedang menikmati jamuan ringan pagi. (Kebiasaan, setiap pagi jumaat ada yang berjamu.. sedekah/hadiah sarapan pagi selepas tahlil... solat subuh dengan bacaan surah sejadah) Pemuda yang tidak memperkenalkan diri itu tiba tiba mengajukan soalan kepada Imam (3) tentang permasalahan perkahwinannya.

Katanya,"Saya nak tanya Tuan Imam, saya dah kahwin... kahwin di Siam. Masalah sekarang isteri saya kena kurung dek emak dan ayah dia di rumah. Kami tidak dibenarkan berjumpa sehingga lah saya setuju untuk akad nikah sekali lagi dengan perempuan tersebut"

Gayanya seperti bertanyakan soalan...Imam (3) tanya,"Kenapa pula nak akad lagi? Bukan kah sudah diakad di Siam?... Dah pernah bersama ke belum?"

Jawab pemuda tersebut, "Dah.... Awal perkahwinan dulu"

Saya menyampuk, "Kalau dah akad apa masalahnya lagi? Awak adukan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam... nanti tahulah mereka bagi nasihat. Tapi awak akan didenda tidak lebih dari RM1000 kerana kesalahan bernikah tanpa kebenaran dan mungkin ada lagi denda/bayaran untuk daftarkan pernikahan dalam Malaysia."

Pemuda tersebut terus potong cakap saya, "Tak payah mengadu pada Jabatan Tuan Imam, saya nak nikah sekali lagi sahaja. Kira macam nikah baru sahaja."

Saya mencelah, "Habis, nikah yang di Siam tu? Kalau adukan kepada pejabat Agama/Mahkamah pasti ada tindakan yang lebih baik berbanding Akad nikah baru"

Pemuda, "Biarlah... Akad Nikah baru sahaja. Emak dan Ayah isteri saya jenis orang tak sembahyang... mereka tak akan peduli benda benda (hal ehwal Jabatan Agama atau Mahkamah Syariah) ini"

Dengan nada yang marah saya tinggikan suara, "Abang... (panggilan untuk orang yang kita tak kenal....selain dari panggil 'WOI').... Negara kita ada undang-undang, antara institusi yang perlu dihormati ialah Jabatan agama dan Mahkamah. Kedua-dua institusi ini ada sistem untuk mengatasi masalah abang ni. Kalau Jabatan/mahkamah keluarkan arahan rasmi suruh kedua ibu bapa isteri abang datang ke pejabat/mahkamah, mereka mesti datang kalau tak nak berkesudahan di lokap atau penjara. Apa yang abang mesti buat ialah adukan kepada Jabatan agama dan tunggu tindakan diambil"

Pemuda tersebut membantah cakap saya, "Tak payah... mereka tak akan datang... Jenis orang tak sembahyang mereka ni. Buat Akad nikah baru sahaja. Saya nak mintak tolong Imam buatkan pengesahan bujang saya dan saya akan 'KURSUS' dan isi semua borang yang perlu untuk majlis akad nikah yang baru."

Saya masih lagi marah tapi saya tahan.... "Abang, saya diamanahkan oleh Jabatan Hal ehwal Agama Islam untuk membuat pengesahan bujang kepada orang yang saya betul betul pasti dia bujang. Andaikata orang macam abang ni datang jumpa saya... saya tak kenal.... menceritakan pengalaman berkahwin di Siam, tiba tiba hendakkan pengesahan bujang dari saya. Ikut hukum akal yang waras..patutkah saya sahkan??"

Saya tak tahu samada dia faham atau tidak soalan saya. Yang pasti, saya sekali kali tidak akan beri pengesahan bujang kepada seorang yang pertama kali saya jumpa tanpa sokongan dari orang lain ..majikan, pegawai atasan,penghulu etc.

Dalam perkara ini yang menaikkan darah saya ialah betapa ceteknya ilmu seorang lelaki yang mengaku sudah dewasa (sebab dah gatal nak kahwin) sampai tak memperdulikan hukum hakam. Dia seolah olah berpendapat hidup dalam alam perkahwinan ini seperti komputer. Kalau rasa-rasa tak seronok atau ada masalah....just tekan Backspace atau delete button... dan buat sekali lagi....macam main game, kalau dah mati/gagal ...insert coin & push start button sekali lagi sahaja , dapat sambung main lagi.Tak terfikir akan hubungan suami isteri yang dah berlaku. Itu tidak penting langsung, yang penting arahan ibubapa isteri agar akadnikah dilakukan sekali lagi. Lebih patuh kepada arahan manusia berbanding arahan Allah Ta'ala. Kesimpulannya, pemuda ini takut kepada keluarga isterinya dan nak ambil jalan mudah.

Ramai orang tak faham undang-undang keluarga Islam ataupun keliru.
Walaupun undang-undang tersebut berbeza antara satu negeri dengan satu negeri tetapi pada dasarnya hampir sama. Masalah pemuda ini termasuk dalam undang undang keluarga Islam. Mesti ada solution nya Cuma dia sahaja yang ‘begar’!

Semalam, 6/1/08 di Pusat Giat MARA saya diberi peluang memberi taklimat tentang kelas pengajian Islam sepanjang tahun 2009 yang bakal diadakan kepada pelatih pelatih baru. Saya mengambil kesempatan bercerita tentang hal ehwal nikah kahwin ini. Antara yang sempat saya pesan ialah jangan kahwin lari.... risikonya besar kalau kahwin lari ini.

Secara lawak saya berpesan kepada pelatih pelatih Pusat Giat MARA seandainya mereka hendak meminang mana mana anak gadis, kemudian di’reject’ oleh keluarga si gadis ini maka janganlah bercadang nak kahwin lari pula. Zaman sekarang perempuan ramai dari lelaki, kalau yang itu tak mau, ramai lagi orang perempuan yang mau. Sempat juga saya berseloroh, ”patutlah di IPTA tak ramai pelajar lelaki, rupa rupanya ramai yang masuk Pusat Giat MARA”. Kedua, saya berpesan supaya menimba ilmu pengetahuan tentang pengurusan keluarga dari orang yang berpengalaman... termasuk jugalah ilmu pengurusan kewangan, pengurusan kerjaya dan macam macam lagi. Bukanlah bermakna mereka terpaksa mengikuti kelas-kelas khas tetapi menuntut ilmu secara bertanya kepada yang lebih berpengalaman. Pesanan ke tiga ialah supaya mereka memilih wanita (bakal isteri) dari kalangan yang berlatarbelakangkan agama supaya rumahtangga kurang bergolak... mengambil contoh rumahtangga artis artis di Malaysia yang dayatahannya sekitar dua tiga tahun sahaja. Cuma penyampaian saya secara berseloroh membuatkan pelatih pelatih tak kering gusi.

Begitulah ceritanya... Moral of the story, mesti sentiasa belajar. Jangan hanya tahu nak kahwin sahaja, mesti kena belajar. Mungkin belajar dari orang yang berpengalaman, mungkin juga belajar dari pengalaman kita sendiri dan bermacam macam cara lagi. Cara kita membuat keputusan menunjukkan level ilmu kita… jenis orang belajar atau tidak.