nuffnang's ads

Tuesday, February 23, 2010

LELAKI LELAKI ITU

Dijamin Masuk Syurga

...Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang dijamin masuk syurga dan akan dilindungi Allah di saat tidak ada lagi pelindung selain Dia, iaitu:
a. Pemimpin yang adil.
b. Seorang pemuda yang hidupnya selalu beribadah kepada Allah.
c. Laki-laki yang hatinya terikat dengan masjid.
d. Dua orang yang saling menyayangi kerana Allah. Bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
e. Seorang laki-laki yang apabila dirayu oleh wanita cantik, berkedudukan dan kaya, ia berkata: “Tidak ... saya takut kepada Allah.”
f. Laki-laki yang bersedekah dengan rahsia, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui yang dikeluarkan oleh tangan kanannya.
g. Laki-laki yang berzikir kepada Allah secara sembunyi, air matanya berlinang kerana takut kepada Allah.

Selamat bertemu kembali, kali ini saya ingin bercerita tentang beberapa lelaki yang saya telah saya temui dalam tempoh dua tiga bulan ini samada di tempat kerja atau di mana mana pun. Menariknya, mereka semua mempunyai rahsia dan kisah yang unik.

Saya mulakan dengan seorang lelaki tua dalam usia enam puluhan yang semenjak saya masuk bertugas di tempat kerja baru beliau sudah pun bermukim di situ. Ya... hidupnya di masjid.. makan, minum, tidur, mandi semuanya di masjid. Saya namakan dia pakcik A. Pakcik A berasal dari kelantan, telah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak perempuan. Kedua dua anaknya ini telah pun berkeluarga. Dari apa yang pernah diceritakan kepada saya ialah Pakcik A telah dihalau dari rumahnya di ibukota semenjak lebihkurang sepuluh tahun lepas oleh anak anaknya sendiri. Menurut ceritanya, Pakcik A telah membelanjakan semua wang KWSP nya untuk anaknya membeli kereta. Mungkin Pakcik A mengharapkan dapat tinggal bersama keluarganya. Beliau pernah bekerja tetap satu masa dahulu.

Dalam tempoh sepuluh tahun beliau dihalau dari rumah, pernah juga pakcik A cuba untuk pulang. Tetapi amat malang rumah tersebut telahpun dijual dan keluarganya telah berpindah ke tempat yang tidak diketahui. Atas sebab itu Pakcik terus bermusafir ke merata tempat di Malaysia khususnya Masjid masjid. Akhirnya terdampar di tempat kerja saya semenjak dua tahun lalu. Pakcik A sudah tidak sihat lagi. Kalau sihat mungkin dia tidak akan terdampar di sini. Semenjak berada disini beliau telah diberi jalan oleh beberapa orang jemaah masjid agar memohon bantuan kewangan dari Baitul Mal Negeri. Alhamdulillah ada lah sedikit bantuan yang diperolehinya. Beliau juga dinasihatkan oleh orang tertentu agar tinggal di rumah orang orang tua yang berdekatan. Pakcik A menolak kerana tidak bebas katanya. Tetapi beliau berjanji akan pergi ke sana apabila kesihatannya kritikal. Lelaki tua ini.... tidak seperti lelaki lelaki lain yang bertandang ke Masjid. Beliau amat rajin menjadi penunggu setia masjid. Waktu subuh pakcik A akan memastikan semua lampu masjid terpasang. Ketika selesai solat beliau jugalah yang memastikan lampu dan kipas dipadamkankan.

Saya amat sayu apabila melihat salah seorang jemaah masjid yang tidak pernah 'miss' menghantar makan malam kepada pakcik A. Menurut jemaah ini dia akan makan apa yang saya makan, katanya merujuk kepada pakcik A. Saya amat kagum melihat kesungguhan jemaah ini walaupun pekerjaannya biasa sahaja. Saya sendiri tidak mampu melakukan apa yang jemaah ini buat...istiqamah.

Saya membuat andaian, Pakcik A mungkin pernah membuat kesilapan semasa mudanya. Mungkin kesilapan kepada anak anak... kepada isteri agaknya. Tetapi amat tidak wajar dia disisihkan begini. Pernah kisahnya ini ditulis dalam Harian Metro yang membawa kepada pertemuan dengan anak anaknya. Anak perempuannya datang ke Masjid untuk membawanya pulang. Setelah sepuluh tahun... dia dibawa pulang ke rumah anaknya. Namun hanya bertahan sehari sahaja. Dia membuat keputusan untuk tinggal di masjid. Apa yang berlaku menurut pakcik A, ketika makanan malam dihidangkan hanya dia seorang yang berada di meja makan. Menantu dan anak anaknya makan di tempat lain (dalam rumah)... seolah olah tak sudi makan semeja dengannya. Rupanya egonya masih ada lagi...mungkin itu yang membawanya ke Masjid semula. Apakah tiada sekelumit kasihan belas dari anak anaknya atau isterinya. Mungkin segala racun , segala keburukkan telah disuntik dalam darah anak anak dan menantunya sehinggakan mereka tergamak membiarkan ayah yang sudah di usia emas bergelandangan tanpa pembelaan dari kerabat terdekat (walaupun masih hidup). Yang nyata saya melihat Pakcik A seolah olah lebih selesa tidur di masjid di atas lantai berselimutkan kain pelikat dan berbantalkan beg pakaiannya.

Saya mempersetujui Pakcik A berada dalam kawasan masjid kerana dia pembersih orangnya. Dia juga tidak berat tangan membantu mana mana kerja yang ringan yang dia mampu buat. Dia juga ikut sama solat berjemaah setiap kali waktu sembahyang. Setiap kali saya terpandang Pakcik A, saya memperingatkan diri saya agar tidak mengabaikan tanggungjawab saya kepada keluarga. ....Saya tidak sekuat Pakcik A untuk hidup keseorangan di usia tua walaupun isteri dan anak anak masih ada.

Kepada pakcik A, teruskan kehidupan. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Allah maha pengampun lagi maha penyayang. Mudah mudahan pakcik A tergolong dalam golongan 'laki laki yang hatinya terikat dengan masjid' dan medapat balasan yang setimpal iaitu syurga. Bagi kita yang masih ada ibu bapa, berbaktilah kepada mereka dengan penuh keikhlasan.

Seorang lagi lelaki yang juga bermastautin di tempat saya, saya namakan dia Pakcik B. Pakcik B, seorang yang yang bekerja tetap di sebuah agensi kerajaan. Pada mulanya saya ingat dia seorang yang bermasalah... samada masalah keluarga atau masalah mental. Setelah lama saling berbicara akhirnya saya dapat menyelami kehidupannya yang serba kekurangan. Beliau mengaku tidak sanggup untuk berulang dari rumahnya di sebuah daerah berjiran denga Seremban kerana kos pengangkutan yang agak mahal berbanding dengan gajinya yang kecil barangkali. Akhirnya membuat keputusan tinggal di masjid.

Mungkin kerana tuntutan membesarkan anak anak membuatkan dia sanggup mengorbankan keselesaan untuk berada di Masjid sepanjang hari hari bekerja. Hanya sabtu dan ahad dia akan pulang untuk bersama keluarga dan anak anak. Inikah pengorbanan? Alhamdulilah saya masih lagi bernasib baik...walaupun nasib saya hampir sama dengan pakcik B (berulang alik bertemu keluarga seminggu sekali), saya masih ada tempat tinggal selesa... pekerjaan yang agak baik. Segala puji pujian bagi Allah Tuhan seluruh Alam. Walaupun pakcik B kurang memberi kerjasama kepada kami, tapi masih lagi tidak mendatangkan masalah besar kepada kami di Masjid. Tapi sampai bila golongan golongan ini akan berada disini..? Hakikatnya, dari satu sudut sijil akademik merupakan jalan keluar terbaik dan dari sudut yang lain Ilmu Pengetahuan kunci kebahagian hidup di duia dan akhirat.

Ayah pernah bercerita tentang kemasukkan saya ke Sekolah Agama. Ayah pernah bermasam muka dengan emak kerana emak bersungguh sungguh mahu saya bersekolah di sebuah Sekolah Sains (saya mendapat tawaran bersekolah di Sekolah Sains Muar selepas peperiksaan penilaian darjah lima). Ayah menggunakan kuasa Veto nya! Ayah berpendapat, memadailah kaklong dah masuk sekolah sains. Bersekolahlah saya di sebuah Sekolah Agama di sini. Saya bukan lah jenis orang yang pandai dan bersungguh sungguh dalam akademik, semua keputusan peperiksaan hanyalah sekadar cukup makan sahaja. Namun berkat doa kedua ibubapa akhirnya saya berjaya juga. Saya berjanji akan pastikan anak anak saya mendapat pendidikan yang terbaik.. lebih baik dari ayahnya... malah lebih baik dari emaknya (sebab, emaknya memang genius). Pendidikan, sijil dan ilmu pengetahuan bakal mencorakkan cara hidup kita dimasa hadapan. Perkara itulah yang saya tak sedar dan ambil mudah beberapa dekad dahulu. Zaman dahulu mana ada bimbingan kerjaya seperti sekarang... apa yang saya ingat ketika saya kecil (mengikut ayah bertemu kawan-kawan dan saudara) ayah akan selalu bercerita kepada kawan kawan dan saudara bahawa 'bangah' (saya) ini nanti nak belajar samapai masuk Universiti Al Azhar! Mungkin kerana selalu diulang ulang maka perkataan ayah itu telah menjadi doa. Saya sendiri tidak pasti bagaimana saya boleh tergerak sampai boleh masuk Universiti Al Azhar. Hanya ucapan terima kasih kepada ayah yang sentiasa mengulang ulang perkataan tersebut. Hasilnya... walaupun lambat, tetapi inilah saya sekarang. Kesedaran ibubapalah yang mencorakkan kehidupan kita semua. Mudah mudahan kesudahan yang baik bagi kedua duanya... InsyaAllah.

Lelaki ke tiga yang saya temui ketika berbual dengan seorang sahabat dalam masjid. Beliau datang dalam keadaan kelam kabut dengan pakaian kusut meminta dua ringgit untuk tambahan kepada duitnya yang ada dalam genggaman (beberapa keping duit seringgit) untuk tambang balik ke Kuala Pilah katanya. Saya bertanyakan soalan bonus kepadanya, "Dah smayang zohor ko bolum" dalam loghat Negeri Sembilan. Lelaki ini terus menjawab dengan gaya seorang pemidato, "Saya ada masalah mental... Hari ini tak boleh sembahyang. Allah Ta'ala lagi tahu. Saya stress. Kalam Allah diangkat harini. Saya dulu kerja dekat jabatan ini dulu.. bla ... bla... bla.." Tanya sepatah...dekat dua tiga minit kita kena ceramah. Sahabat saya menghulurkan dua ringgit sambil tersenyum. "Lain kali sembahyang mesti buat juga...mana ada istilah ~terangkat kalam~" katanya. Lelaki tersebut mengucapkan terima kasih sebelum berlalu. Sopan juga dia walaupun ada masalah mental.

Ketika saya turun dari masjid (hari yang sama) seorang pemuda berusia dua puluh lapan tahun.. menahan saya mengadu masih belum makan semenjak semalam. Saya mohon untuk melihat kad pengenalannya, (bukan senang nak lihat K.P orang lain.. mesti ada kad kuasa) memang dia berusia 28 tahun berasal dari Felda serting. bezanya dia dengan orang lain yang datang meminta minta... pemuda ini hanya berdiri di tangga masjid. Tak berminat untuk naik ke masjid. Yang menghairankan, dia sampai hati untuk datang ke masjid memohon bantuan semata mata... tapi bukan untuk sembahyang. (dalam keadaan waras) Saya kasihan.. (mungkin saya memang cepat merasa kasihan kepada orang lain) walaupun pemuda tersebut berbadan tegap dan sihat. Saya nasihatkan dia badan sihat tak layak minta minta dari orang. Ketika saya periksa dompetnya memang dia tiada wang... saya terjumpa gambar serang gadis. "Awek kau?" Saya tanya. "iyo bang" dia jawab. Saya hairan, orang macam ini pun ada. Ketika ditanya, macamana nak kahwin kalau masa tengah sihat ni pun asyik meminta minta dengan orang. Dia tunduk sahaja. Dia berjanji akan ganti semula dalam masa dua tiga hari yang saya tahu itu hanya janji manisnya. Hakikatnya... ini dah masuk seminggu. Bayang pun tak nampak.

Seterusnya seorang lelaki yang datang menemui saya di pejabat. Sekali pandang usia lelaki ini seperti sudah mencecah lima puluhan. Beliau mengadu kepada saya bahawa beliau hendak balik ke Kedah.. bla.. bla... blaa. Kemudian menunjukkan dadanya yang ada kesan pembedahan. Beliau juga menunjukkan kad pengenalannya, saya terperanjat kerana usianya baru tiga puluh empat tahun. Saya merasa simpati, berminat untuk menolongnya. Selepas solat fardu Zohor saya mengumumkan kepada para jemaah yang ada, "si Fulan berbaju biru dibelakang tuan tuan memerlukan sedikit wang untuk tambang balik ke Kedah". Maka dapatlah dikumpulkan sedikit wang anggaran lima puluh ringgit ke enam puluh ringgit agaknya (mungkin lebih).

Nak dijadikan cerita, setelah lelaki ini pergi... pakcik A membuka rahsia bahawa lelaki itu seorang kaki mabuk dan pernah bekerja di satu restoren di bandar Seremban. Saya terkedu, namaun saya memujuk hati saya... Allah memberi peluang kepada jemaah masjid mendapatkan pahala beredekah. Apa yang lelaki itu lakukan dengan wang itu ialah antara dia dengan Allah Ta'ala. Patutlah wajahnya tidak sepadan dengan usia dalam kad pengenalan. Agaknya arak memang peranannya begitu, menyebabkan sesorang tua sebelum waktunya. Menurut Pakcik A lagi, lelaki tersebut akan minum arak dan tinggal di kaki kaki lima sekitar Seremban. Saya mendoakan, mudah mudahan lelaki tersebut pulang ke pangkal jalan. Itulah kekuatan sebuah masjid.. segala jenis manusia akan datang samada untuk mengambil kesempatan atau mengambil menafaat dari Masjid. Yang penting Masjid tidak ditutup untuk golongan seperti ini.. kerana kemana lagi mereka akan pergi. Siapa yang akan bertanggungjawab seandainya golongan yang sebegini (bertindak seperti orang tak waras) memohon bantuan di Gereja atau Kuil?

Inilah dia lelaki lelaki sempat untuk dikisahkan sepanjang keberadaan saya di Masjid Jamek Bandar Seremban. Jika kita hayati maksud Hadith di atas di golongan manakah mereka ini berada? Banyak lagi kisah menarik ketika saya bertugas di Masjid Jamek Pekan Gemas...nanti jika ada kelapangan saya akan ceritakan. Mudah mudahan kita semua dikurniakan rahmat dari Allah. Mudah mudahan juga ada kebaikan yang telah dan bakal mereka lakukan yang akan mendatangkan menafaat kepada diri mereka sendiri.
Wallahua'lam