nuffnang's ads

Monday, December 22, 2008

SEKALI LAFAZ

Semalam, 21 Disember 2008.... satu couple telah selamat saya akadkan. Bezanya dengan pasangan pasangan lain sebelum ini ialah mereka dinikahkan dengan sekali lafaz sahaja. Ini berpunca dari kedua dua saksi yang bersama saya bukan saksi yang biasa bersama saya.

Antara sebab musabab akad nikah yang saya hadiri menjadi 'berkali kali' ialah kerana pengaruh saksi. Semalam, disebabkan saksi tersebut berada di Pulau Pinang kerana berjalan kerumah anaknya maka saya terpaksa mengambil saksi yang lain... jadinya urusan akad nikah menjadi lebih mudah. Saya sebagai orang baru (muda sikit dari mereka) kadang kadang terpaksa 'meraikan' kehadiran orang orang veteran demi menjaga nama baik semua pihak. Bukan dalam urusan akadnikah sahaja, malahan dalam semua hal.

Terbaru yang saya ingat ialah permasalahan berkata-kata pada masa diantara solat Jumat dan tamat Khutbah. Imam Veteran Nombor satu berkeras mengatakan tidak boleh berkata kata pada waktu diantara permulaan solat Jumaat dan tamat khutbah Jumaat hatta menyuruh makmum memperbetulkan saf sekali pun. Tetapi, sebenarnya harus bagi Imam menyuruh makmum memperbetulkan saf kerana susunan saf yang betul adalah tuntutan dalam solat jemaah... dan perkataan imam (arahan supaya saf dibetulkan dan diluruskan) tidak samasekali menjejaskan 'muwalliyah' solat Jumaat. (Menjadi syarat khutbah dan solat Jumaat mesti muwalliyah...berturutan)

Jadi, apabila saya bertugas sebagai imam dan khatib pada hari Jumaat, saya mengambil pendekatan untuk meraikan pendapat Imam veteran nombor satu ini kerana pada pendapat saya hubungan saya dengan mereka perlu harmoni, apalah sangat kita berselisih pendapat atau berkelahi pada perkara perkara furu'.. perkara kecil. Tambahan pula orang orang lama lebih emosional dan sensitif. Demi meraikan pendapat Imam veteran nombor satu, setelah selesai saya berkhutbah.... saya tidak berkata walau satu perkataan, cuma memberi masa makmum memperbetulkan saf dalam dua tiga minit dan terus mengangkat Takbiratul Ihram.... ALLAHUAKBAR!

Begitu jugalah yang berlaku semasa akad nikah, saya meraikan saksi akad nikah yang selalunya terdiri dari Imam Veteran nombor dua... yang bukan lah ahli dalam bidang kesusasteraan Melayu tetapi mempertikaikan kaedah dan tatabahasa pengantin semsa ijab dan qabul akad tersebut. Secara peribadi saya rasa perkara tersebut perlu diubah... kerana kebanyakan pengantin lelaki khususnya bagi yang pertama kali kahwin akan merasa gementar bila diakad...(nikah kali kedua, ketiga terkecuali)

Ini normal, saya sendiri diakad oleh bapa mertua saya sebanyak empat kali.... kerana pengaruh saksi lah ni. Apakata, dipermudahkan bagi pengantin lelaki ini urusan akad nikah mereka dengan tidak mempersoalkan bab bab remeh temeh seperti menyoal dengan soalan yang susah susah, tatabahasa....disini ada 'nya' disana tak boleh pula ada 'nya'.... dan macam macam lagi. Bayangkan pengantin disoal soalan yang susah dalam keadaan gementarnya dia tidak dapat menjawab.... dan dengan kamera video, pembesar suara semua menghala kearahnya.... maka menjadi sesuatu yang memalukan lah nanti.

Itu yang pengantin gementar, yang jurunikahnya gementar? Juga berlaku kepada saya, apabila pertama kali saya bertugas sebagai jurunikah... pasangan yang hendak bernikah ialah seorang duda dan janda. Aduh... jurunikah yang menggeletar.... hahahaha! Pengantin lelaki berusia limapuluhan, manakala perempuan lebihkurang akhir empatpuluhan. Bayangkan, apabila saya minta kad pengenalan pengantin perempuan, berlari pengantin perempuan menghulurkan pada saya, saya pula yang naik teperanjat... disebabkan 'orang lama' pengantin perempuan tidaklah duduk bersimpuh tersipu sipu malu malahan duduk sama seperti jurunikah juga. Alhamdulillah selesai juga tanggungjawab tersebut.

Semalam pun begitu juga, begitu ketara perasaan gementar bapa pengantin yang mengakadkan anak gadisnya. Selesai majlis, bapa pengantin memohon maaf kepada saya kerana dia gementar semasa akad. Saya menegaskan kepadanya bahawa gementar, takut..menggigil bukan lah masalah, selagi saksi faham pertuturan wali dan pengantin lelaki selagi itulah jurunikah tiada alasan untuk menolak akad tersebut.

Mungkin juga pengaruh pasangan Mawi-Ekin menjadi mempengaruhi mood majlis akad nikah semalam. Pengantin lelaki pun bersujud syukur selepas akad (macam dalam suratkhabar yang terpampang gambar Mawi sedang sujud). Saya kurang mengambil perhatian kerana menyelesaikan dokumentasi pengantin lelaki dan perempuan. Walaubagaimanapun tahniah diucapkan kepada mempelai kerana memulakan gerbang perkahwinan dengan sujud kepada Allah s.w.t. Mudah mudahan setiap perkahwinan yang dimulakan dengan perkara baik akan sentiasa beroleh kebaikan sahaja hendaknya...berbeza dengan perkahwinan yang tidak dimulakan dengan perkara yang baik, dayatahan meragukan. Nasihat saya, jauhilah perkara yang bertentangan semasa hari perkahwinan.. mulakan dengan solat sunat atau sujud syukur dengan harapan perkahwinan sentiasa mendapat berkat.

Kita bayangkan pula akad nikah pengantin yang pekak dan bisu.... saya ada ceritanya. Tunggu!

*atas rasa gementar saya bersetuju untuk akad nikah dengan ketiadaan kedua ibubapa (mereka naik kereta lain, belum sampai) sehingga adik saya yang perempuan marah kepada saya dengan perkataan 'tak menyompek nyompek'. (tak sabar)
*Kenapa pengantin lelaki(saya) sampai awal? Sebab dia drive sendiri.

1 comment: