nuffnang's ads

Showing posts with label PENGAJARAN DAN TAULADAN. Show all posts
Showing posts with label PENGAJARAN DAN TAULADAN. Show all posts

Saturday, April 23, 2011

KAHWIN SENANG, SENANG KAHWIN



Semalam saya menikahkan satu pasangan... yang lelaki berumur 19 tahun dan yang perempuan berusia 20 tahun. Bila saya fikir-fikirkan semula, ketika saya berusia 19 tahun sedikit pun tidak terlintas di hati saya untuk berkahwin... berpacaran pun jauh sekali. Mungkin ada atau tidak syok sendiri sikit sikit la kot. Menarik tentang pasangan yang saya nikahkan ini ialah mereka bernikah dengan tiada persediaan rapi dengan erti kata lain terlampau simple atau dikenali juga dikalangan orang cina/melayu sebagai 'cincai' sahaja.


Tahniah diucapkan kepada kedua-dua ibubapa pengantin kerana menyedari hakikat dan realiti remaja yang berlaku di sekeliling kita sekarang. Walaubagaimanapun sepatutnya mereka kena ada persediaan. Saya kata tiada persediaan sebab wang maskahwin pun tanpa envelope.... upah nikah lagi lah.... main bagi macam tu sahaja. Ketika saya hendak menurunkan tandatangan atas borang nikah mereka, saya dapati ruang 'hantaran' dan 'hadiah' tidak ada apa-apa kenyataan dinyatakan. Bila saya tanya kepada bapa pengantin jawapannya ialah "Bolum bincang laie". Ishhh! ada ka patut?? Lalu saya membuat keputusan untuk menentukan hantaran pada masa itu juga sebab kalau saya biarkan (untuk ditentukan kemudian) maka sudah pasti pihak pengantin perempuan tidak merasa wang hantaran atau pun hadiah. Saya tanya suami berapa dia nak letak hantaran... laaaaaa.... ada ka patut dia jawab entah. Dan lebih pelik lagi dia (pengantin lelaki) boleh tanya pada ayah dia yang ada kat sebelah dia "berapa hantaran?". Lalu di saat genting itu saya memberi cadangan kepada pihak pengantin lelaki.... "Macamana kalau RM1000?"... Sekali lagi pengantin buat lawak.... "Ëntah......" Mana boleh jawab macam tu... kena la jawab, mampu ke tak mampu sebab pihak perempuan dah bagi chance bayar kemudian. Kalau mampu seribu jawab ok... kalau tak mampu, bagi jumlah yang mampu sepatutnya. Akhirnya Bapa pengantin lelaki menjawab, "Macam ni la tuan, saya cadangkan RM1500"... biasa lah lelaki, ego mesti ada. Saya tau la lelaki... hahaha sebab saya pun lelaki.  "Ayah bagi kau tempoh sebulan untuk cari RM1500, boleh tak?" warning si ayah pengantin lelaki kepada pengantin lelaki. O.K Selesai satu bab.

Saya tanya lagi satu soalan cepumas.... nak bagi pengantin perempuan hadiah tak? Cincin ke ... rantai ke.... gelang ke.... Ahaks! Tiada sambutan. Semuanya geleng ...Ok lah tu... at least dah ada RM1500. Saya terpaksa menerangkan semua yang dibincangkan itu akan tercatat dalam sijil nikah nanti. Pengantin lelaki tu kerjanya asyik tersengih-sengih dari tadi. Ye la, budak lagi... baru 19 tahun. Yang penting segalanya selesai dengan baik. Yang menghairankan saya Bapa pengantin perempuan tak kisah langsung tentang hantaran dan hadiah ni. Dah la tu, nikah anak dia pun wakilkan pada saya... takda masalah sebab memang tugas saya dah. Pada pandangan mata saya pengantin perempuan comel orang nya... tu yang hairan tu kenapa si Bapa tak demand langsung. Kurang kurang letak la harga sikit kan? Sepatutnya bapa mertua saya (masa saya kawin dulu) berfikir macam ini juga.... tak payah susah susah cari RM6K kan.... hahahaha!
Pengantin lelaki (gambar hiasan)

Ini 1st time saya handle nikah yang sangat sangat simple. No wonder la, borang kahwin diorang tak hantar pada saya 2,3 hari sebelum majlis akad nikah. Terpaksa pula saya talipon suruh diorang hantar borang selewat lewatnya pagi Jumaat. Pagi Jumaat saya ke pejabat, saya dapati borang tu masih belum sampai  atas meja saya. Kebiasaannya apabila borang sudah berada di tangan saya, mudah la isi semua particulars yang patut diisi. Terbalik pula, kita yang lebih... diorang ala kadar saja. Dari situ saya dah nampak betapa bakal pengantin tidak bersungguh sungguh.

Kesimpulannya, perkara penting macam ni jangan buat sambil lewa. Tunjukkan yang kita bersungguh sungguh. Dari satu segi saya puji sikap ibu bapa kedua mempelai sebab merestui anak mereka nikah awal. Dari satu segi yang lain pula saya kesal dengan sikap pengantin lelaki sebagai ketua keluarga (walaupun baru diisytiharkan) seperti acuh tak acuh dengan perkahwinannya sendiri. Pun begitu, saya doakan yang terbaik untuk pasangan tersebut.

----Kira ok la jugak sebab dua kali lafaz je akadnya. Pernah saya akadnikahkan orang keturunan mamak yang jarang berbahasa melayu dan buta huruf.... hadoi! masakk!! Bayangkan dah tulis atas kertas besar-besar pun tak settle juga.

Thursday, January 6, 2011

Kenapa mesti 2 Alam?... sepatutnya berapa Alam?

Semalam saya menghadiri pengajian yang disampaikan oleh seorang guru di sebuah masjid di Seremban. Saja la nak share dengan tuan tuan semua... pendek dan ringkas.

Pengajian semalam menjurus kepada 'perkara2 yang harus di lakukan oleh seseorang muslim apabila berlaku kematian di kalangan seorang muslim yang lain'. Antaranya yang di sebut oleh Ustaz tersebut ialah mula-mula kita mesti usahakan untuk menutup mata si mati seterusnya menggerakkan sendi-sendi si mati seperti bersenam bertujuan supaya anggota badannya tidak mengeras. Kemudian hendaklah diletakkan logam yang ringan di atas perut si mati untuk mengelakkan perutnya membuncit. Dan juga harus di pastikan pakaian si mati yang dipakainya itu tanggalkan. Ustaz mengingatkan bahawa setiap rumah mesti sekurang kurangnya menyimpan sehelai dua kain 'batik lepas' sebagai persediaan untuk menutup jenazah (kebiasaan orang melayu) kalau pun bukan untuk diri sendiri atau keluarga sendiri ianya mungkin untuk persediaan sahabat handai dan jiran-jiran terdekat. Selain itu sementara menunggu jenazah di sempurnakan eloklah hadirin yang ada membaca Surah Yassin atau Al Quran. Bukan satu kemestian katanya, tetapi ianya amalan yang baik apa salahnya di lakukan.

Yang saya nak share 'straight forward' kali ini ialah tentang 'ALAM'. Ustaz bagitahu, manusia terlibat dalam 5 alam.
  1. ALAM RUH
  2. ALAM RAHIM
  3. ALAM DUNIA
  4. ALAM BARZAKH
  5. ALAM AKHIRAT
Menariknya kelima-lima Alam ini sangat berbeza di antara satu sama lain. Ianya (kelima-lima) sangat penting bagi manusia. Andai terkurang satu daripada alam-alam ini maka bukan lah makhluk (manusia) namanya. Pun begitu Ustaz mengingatkan Alam dunia adalah sebagai tempat kita berusaha berbuat kebajikan dan segala kebaikan untuk menjamin kehidupan yang kekal abadi di Alam akhirat. Adapun Alam barzakh, adalah satu Gerbang menuju Alam Akhirat.... hanya amalan kita yang mampu menolong. Kalau amalan baik maka aman damailah di sana, begitulah sebaliknya. Bayangkan, di Alam dunia kita mungkin hidup paling lama 60 - 70 tahun sahaja... tetapi di Alam Akhirat kita akan hidup selama lamanya sama ada dalam syurga atau neraka (Na'uzubillah).

Macam tu lah... kita fikir fikirkan lah. Memang taknak tulis panjang-panjang. Kang korang nak blogwalking tempat lain pulak kan?....

Friday, December 10, 2010

Alhamdulillah.... I'm happy with my life

Assalamualaikum.
Bertemu lagi setelah bermalas malasan bercuti sekian lama.
Semalam saya bertemu dengan seorang balu a.k.a janda a.k.a ibu tunggal yang datang ke pejabat untuk mendapatkan sokongan bagi mendapatkan bantuan dari sebuah badan kebajikan yang sering memberi bantuan kepada fakir miskin. Beliau berusia sekitar pertengahan empat puluhan. Menarik untuk kita renungi kehidupan kakak ni. (........ biar saya gelar dia sebagai 'kakak ni' sahaja) Beliau telah bercerai dengan suaminya sejak berapa lama dahulu. Bekas suaminya pula telah meninggal dunia dan bersama kakak ni ada dua orang anak lelaki... seorang berusia 25 tahun telah berkahwin dan seorang lagi berusia 24 tahun masih bujang dan tinggal bersama. Menurut kakak ni, selepas bercerai dengan suaminya beliau telah tinggal bersama arwah ibunya (telah meninggal dunia tahun lepas).

Buat masa sekarang, kakak ni tinggal bersama lima orang anak saudaranya (anak abangnya) yang berusia di antara 8 hingga 18 tahun di rumahnya (rumah pusaka arwah ibu mereka). Abang kepada kakak ni pun telah bercerai dengan isterinya, jadi kelima lima anak saudaranya seolah olah menumpang kasih ibu dari kakak ni. Apa yang mengejutkan saya ialah abang kakak ni yang bekerja sebagai pemandu bas hanya balik sekitar 2 minggu sekali dan memberikan wang sara hidup untuk kelima lima anak ini sekitar RM600 sebulan. Dan menurut kakak ni lagi abangnya itu tidak membenarkan anak-anaknya tinggal dengan ibu mereka di sebuah negeri di Selatan tanahair atas dasar 'ego'.

Anak sulung kakak ni telah berkahwin dua tahun lepas dan rumah tangganya sekarang sedang berantakan, dengan statement dari kakak ni mengenai rumahtangga anak sulungnya itu ialah, "entah apo lah nak jadi tu... Tak taulah!". Anak keduanya telah habis sekolah dan bekerja di sebuah Car Wash.

Saya sangat kasihan bila meneliti borang permohonan kakak ni yang disertai dengan bil utiliti rumahnya. Bil TNB (letrik) nya berjumlah RM1200 dan telah dipotong sejak sebulan yang lalu. Bila saya tanya , "habih, kakak pakai lilin lah sekarang ni?". "Terpakso lah.. nak buek macamano...." jawab kakak ni.  Manakala bil SAINS (air) berjumlah RM520. Tetapi telah dibayar oleh seseorang yang kakak ni sendiri tak tahu siapa. Alhamdlillah, masih ada yang prihatin.

Saya maklumkan kepada kakak ni bahawa saya hanya boleh menyokong, dan keputusan samada berjaya atau tidak bantuan tersebut terpulang kepada pihak atasan badan kebajikan tersebut. Kakak ni mengangguk tanda faham.

Sedikit nasihat saya kepada kakak ni, sepatutnya apa yang berlaku dalam hal keadaan seperti ini ialah kedua dua anak lelakinya membantu kehidupan ibunya yang membelai, menjaganya semasa kecil. Apa yang berlaku sekarang ialah anaknya masih bergantung hidup dengan ibunya.... anak lelaki... kalau anak perempuan mungkin tiada masalah. Tetapi siapa yang akan menasihat kedua dua anaknya untuk mengambil berat tentang ibunya? Andaikan, anaknya seorang yang susah menerima nasihat orang....andaikan anaknya seorang yang tidak tamakkan ilmu pengetahuan... andaikan anaknya seorang yang tidak melakukan solat dan andaikan beberapa perkara negatif lagi, apakah kesudahannya?

Begitu juga dengan abangnya yang meninggalkan tanggungjawab membela kelima lima anaknya dengan kakak ni. Pada hemat saya, kasih sayang mak saudara tidak akan sama seperti kasih sayang mak kandung. Saya nasihatkan kakak ni untuk nasihatkan abangnya. Kakak ni mengatakan bahawa abangnya seorang yang ego dan degil. "Maleh la akak cakap dengan dio" rungut kakak ni. Seandainya hal ini berterusan sangat banyak perkara negatif yang akan berlaku tambahan anak sulung abangnya itu perempuan, dan telah berhenti sekolah sejak tingkatan 4 tinggal pulak sebumbung dengan sepupu lelaki. Anak sulung kebiasaannya menjadi contoh kepada adik beradik yang lain.... apa perasaan adik-adiknya melihat hal ini berlaku. Sudah tentu memberi kesan negatif kepada pelajaran dan kehidupan adik adiknya.

Agak agaknya, bahagia tak kehidupan kakak ni? Agak agaknya bahagia tak kehidupan abang kakak ni? Agak agaknya bahagia tak kehidupan anak anak kakak ni? Agak agaknya bahagia tak kehidupan anak anak saudara kakak ni?

Satu lagi kisah yang saya baru terbaca beberapa hari lepas ialah tentang gaji seorang CEO syarikat besar di Malaysia sebanyak RM425,000.00 sebulan. Perghhh.... sebulan sekali boleh beli kereta Honda City Kancil. (level saya hanya level kereta kancil sahaja) Hari ini pula saya terbaca, beliau sedang dalam proses mahkamah dengan salah seorang isterinya.

Satu lagi kisah ialah, tentang blog-blog yang canggih canggih... blog-blog yang kelassss gitu sering menceritakan kemewahan, kesenangan, kebahagiaan, kekayaan...... jarang sekali  yang menceritakan tentang kesusahan hidup... permasalahan kewangan... kegagalan perniagaan dan jauh samasekali perpecahan dan kemusnahan rumahtangga. Mereka bercerita tentang sarapan pagi di Kuala Lumpur, makan tengahari di New York, minum petang di Rio de Janeiro dan makan malam di Paris. Ada yang bercerita tentang shopping beg tangan yang harganya dua bulan gaji kita. Ada juga yang bercerita tentang hubungan percintaan yang tulus mulus dengan kekasih hati. Hebat sungguh si empunya blog...

Kesimpulannya, Allah Maha Adil..... mungkin kita tiada gaji RM425,000 sebulan.... Mungkin kita tidak mampu nak merantau ketempat orang.... atau mungkin kita tidak tergolong dalam orang susah yang makan kais pagi makan pagi... kais petang makan petang. Mungkin keluarga kita tidak terlibat dalam kancah masalah rumahtangga. Tetapi, inilah kita... macam ini... sebagaimana kita sekarang.

Bersyukur dengan nikmatnya. Apa yang berlaku mesti bersebab. Ada sebab kenapa Gaji si CEO tu RM425,000 sebulan. Siasat latar belakangnya, bagaimana dia berusaha... bagaimana dia belajar dan bagaimana dia mengambil peluang. Juga ada sebab kenapa si empunya blog-blog canggih dan blog-blog yang kelasss gitu bermewah mewah seperti yang ditulis dalam blognya , agak agaknya ada kebarangkalian tak, si empunya blog itu belajar sampai darjah enam? Mustahil!..... dan mesti ada sebabnya kenapa kakak ni dan keluarganya hidup susah macam apa yang saya cerita di atas. Kita samasekali tidak tahu apa yang tersimpan dalam lipatan sejarah silamnya.

Allah Maha Adil, kita tidak tahu apa yang berlaku di sebalik keseronokkan masing-masing. Hanya empunya diri yang tahu. Yang pasti, ada kesedihan dan kepayahan disebalik keseronokkan tersebut... 

Oleh itu kunci kejayaan from my point of view yang pertama ialah ILMU... dan yang kedua ialah SIJIL... hehehe... Belajarlah sampai dapek sijil walaupun sepuluh tahun. (kisah benar)


Gambar Hiasan


Persoalan yang belum terjawab: 
  • Agak agaknya, bahagiakah orang yang terpaksa menghabiskan duit bonus hujung tahun bukan banyak pun RM500 je untuk membayar saman trafik tertunggak? 
  • Agak agaknya, bahagiakah orang yang telah men'speedtrap'kan kita semasa kita menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga memandu kereta? 
  • Agak agaknya, bahagiakah orang yang mem'blacklist'kan road tax renewal kereta kita bila kita tidak ada duit untuk membayarnya kerana kita hendak pergi jalan jalan makan angin bersama keluarga di Cameron Highland? hahaha.... Mano nak cari duit ni??

Sunday, October 24, 2010

KATAKAN 'TIDAK' PADA KAD KREDIT. (SAY NO TO CREDIT CARDS)

Bank mana pula yang dah upah saya untuk mengatakan 'tidak' pada kad kredit? Bulan september adalah bulan terakhir saya membayar ansuran kad hutang saya. Buat masa sekarang saya masih lagi menunggu surat pengesahan hutang dah clear dari bank berkenaan.

Tiga empat tahun lalu memang kad hutang saya ada banyak juga. Hakikatnya duit bukan ada pun. Sekali dapat guna kad hutang.... memang senang nak apply kad hutang lain dari bank yang berlainan pula. Antara yang paling banyak nilai hutangnya ialah kad CITIBANK. Berjanggut nak tunggu langsai, anyway atas nasihat dan konsultansi seorang pakar ekonomi Puan Isteri, saya dengan kerjasama dia (puan Isteri) telah menterminate kesemua kad hutang yang ada. Terakhir kad hutang CIMB Bank.

Hidup lebih selesa tanpa kad hutang. Hati kecil saya masih mahu menggunakkan kad hutang ini tetapi Puan Isteri meremindkan buruk baiknya....... actually bagi saya (yang pendapatan tidak seberapa ni) banyak buruk dari yang baiknya. Kebaikan, Semasa ketiadaan wang tunai saya mampu berjalan dengan penuh gaya tanpa perlu risau tentang kos minyak petrol dan makan minum (di tempat terpilih; pizza hut, KFC dll) Rasanya hanya itulah satu-satunya kebaikan kad hutang kepada saya. Sekiranya, hendak dilistkan keburukan kad hutang maka saya memerlukan beberapa Gigabyte untuk menyenaraikan kesemuanya dalam blog ini. I'm happy with my life now, without any credit card... hahaha! Hutang pun hanya hutang rumah dan kereta. Oopss! ada pulak hutang lapuk tersenarai.... contohnya hutang TM di premis lama di Tampin sekitar tujuh tahun lepas. Ada jugalah sesikit hutang lain yang hanya saya dan puan Isteri sahaja yang tahu..

Nasihat saya kepada pengguna kad hutang....Berwaspada berkredit card! Masa swipe memang seronok. Tapi masa bayar kita sendiri akan mencari alasan untuk tidak membayar hutang sepenuhnya. Been there, done that! Pengalaman saya, berjanji dengan diri sendiri ,"Kad kredit ini hanya untuk kos minyak petrol" tetapi akhirnya semua saya swipe.... kalau tak percaya tanya puan penasihat saya. Nasib baik belum tersenarai dalam bankrapsi lagi....

Mungkin kalau gaji saya dah 2 juta ringgit sebulan nanti saya akan mula menggunakan kad hutang semula agaknya.

Tuesday, February 23, 2010

LELAKI LELAKI ITU

Dijamin Masuk Syurga

...Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang dijamin masuk syurga dan akan dilindungi Allah di saat tidak ada lagi pelindung selain Dia, iaitu:
a. Pemimpin yang adil.
b. Seorang pemuda yang hidupnya selalu beribadah kepada Allah.
c. Laki-laki yang hatinya terikat dengan masjid.
d. Dua orang yang saling menyayangi kerana Allah. Bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
e. Seorang laki-laki yang apabila dirayu oleh wanita cantik, berkedudukan dan kaya, ia berkata: “Tidak ... saya takut kepada Allah.”
f. Laki-laki yang bersedekah dengan rahsia, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui yang dikeluarkan oleh tangan kanannya.
g. Laki-laki yang berzikir kepada Allah secara sembunyi, air matanya berlinang kerana takut kepada Allah.

Selamat bertemu kembali, kali ini saya ingin bercerita tentang beberapa lelaki yang saya telah saya temui dalam tempoh dua tiga bulan ini samada di tempat kerja atau di mana mana pun. Menariknya, mereka semua mempunyai rahsia dan kisah yang unik.

Saya mulakan dengan seorang lelaki tua dalam usia enam puluhan yang semenjak saya masuk bertugas di tempat kerja baru beliau sudah pun bermukim di situ. Ya... hidupnya di masjid.. makan, minum, tidur, mandi semuanya di masjid. Saya namakan dia pakcik A. Pakcik A berasal dari kelantan, telah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak perempuan. Kedua dua anaknya ini telah pun berkeluarga. Dari apa yang pernah diceritakan kepada saya ialah Pakcik A telah dihalau dari rumahnya di ibukota semenjak lebihkurang sepuluh tahun lepas oleh anak anaknya sendiri. Menurut ceritanya, Pakcik A telah membelanjakan semua wang KWSP nya untuk anaknya membeli kereta. Mungkin Pakcik A mengharapkan dapat tinggal bersama keluarganya. Beliau pernah bekerja tetap satu masa dahulu.

Dalam tempoh sepuluh tahun beliau dihalau dari rumah, pernah juga pakcik A cuba untuk pulang. Tetapi amat malang rumah tersebut telahpun dijual dan keluarganya telah berpindah ke tempat yang tidak diketahui. Atas sebab itu Pakcik terus bermusafir ke merata tempat di Malaysia khususnya Masjid masjid. Akhirnya terdampar di tempat kerja saya semenjak dua tahun lalu. Pakcik A sudah tidak sihat lagi. Kalau sihat mungkin dia tidak akan terdampar di sini. Semenjak berada disini beliau telah diberi jalan oleh beberapa orang jemaah masjid agar memohon bantuan kewangan dari Baitul Mal Negeri. Alhamdulillah ada lah sedikit bantuan yang diperolehinya. Beliau juga dinasihatkan oleh orang tertentu agar tinggal di rumah orang orang tua yang berdekatan. Pakcik A menolak kerana tidak bebas katanya. Tetapi beliau berjanji akan pergi ke sana apabila kesihatannya kritikal. Lelaki tua ini.... tidak seperti lelaki lelaki lain yang bertandang ke Masjid. Beliau amat rajin menjadi penunggu setia masjid. Waktu subuh pakcik A akan memastikan semua lampu masjid terpasang. Ketika selesai solat beliau jugalah yang memastikan lampu dan kipas dipadamkankan.

Saya amat sayu apabila melihat salah seorang jemaah masjid yang tidak pernah 'miss' menghantar makan malam kepada pakcik A. Menurut jemaah ini dia akan makan apa yang saya makan, katanya merujuk kepada pakcik A. Saya amat kagum melihat kesungguhan jemaah ini walaupun pekerjaannya biasa sahaja. Saya sendiri tidak mampu melakukan apa yang jemaah ini buat...istiqamah.

Saya membuat andaian, Pakcik A mungkin pernah membuat kesilapan semasa mudanya. Mungkin kesilapan kepada anak anak... kepada isteri agaknya. Tetapi amat tidak wajar dia disisihkan begini. Pernah kisahnya ini ditulis dalam Harian Metro yang membawa kepada pertemuan dengan anak anaknya. Anak perempuannya datang ke Masjid untuk membawanya pulang. Setelah sepuluh tahun... dia dibawa pulang ke rumah anaknya. Namun hanya bertahan sehari sahaja. Dia membuat keputusan untuk tinggal di masjid. Apa yang berlaku menurut pakcik A, ketika makanan malam dihidangkan hanya dia seorang yang berada di meja makan. Menantu dan anak anaknya makan di tempat lain (dalam rumah)... seolah olah tak sudi makan semeja dengannya. Rupanya egonya masih ada lagi...mungkin itu yang membawanya ke Masjid semula. Apakah tiada sekelumit kasihan belas dari anak anaknya atau isterinya. Mungkin segala racun , segala keburukkan telah disuntik dalam darah anak anak dan menantunya sehinggakan mereka tergamak membiarkan ayah yang sudah di usia emas bergelandangan tanpa pembelaan dari kerabat terdekat (walaupun masih hidup). Yang nyata saya melihat Pakcik A seolah olah lebih selesa tidur di masjid di atas lantai berselimutkan kain pelikat dan berbantalkan beg pakaiannya.

Saya mempersetujui Pakcik A berada dalam kawasan masjid kerana dia pembersih orangnya. Dia juga tidak berat tangan membantu mana mana kerja yang ringan yang dia mampu buat. Dia juga ikut sama solat berjemaah setiap kali waktu sembahyang. Setiap kali saya terpandang Pakcik A, saya memperingatkan diri saya agar tidak mengabaikan tanggungjawab saya kepada keluarga. ....Saya tidak sekuat Pakcik A untuk hidup keseorangan di usia tua walaupun isteri dan anak anak masih ada.

Kepada pakcik A, teruskan kehidupan. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Allah maha pengampun lagi maha penyayang. Mudah mudahan pakcik A tergolong dalam golongan 'laki laki yang hatinya terikat dengan masjid' dan medapat balasan yang setimpal iaitu syurga. Bagi kita yang masih ada ibu bapa, berbaktilah kepada mereka dengan penuh keikhlasan.

Seorang lagi lelaki yang juga bermastautin di tempat saya, saya namakan dia Pakcik B. Pakcik B, seorang yang yang bekerja tetap di sebuah agensi kerajaan. Pada mulanya saya ingat dia seorang yang bermasalah... samada masalah keluarga atau masalah mental. Setelah lama saling berbicara akhirnya saya dapat menyelami kehidupannya yang serba kekurangan. Beliau mengaku tidak sanggup untuk berulang dari rumahnya di sebuah daerah berjiran denga Seremban kerana kos pengangkutan yang agak mahal berbanding dengan gajinya yang kecil barangkali. Akhirnya membuat keputusan tinggal di masjid.

Mungkin kerana tuntutan membesarkan anak anak membuatkan dia sanggup mengorbankan keselesaan untuk berada di Masjid sepanjang hari hari bekerja. Hanya sabtu dan ahad dia akan pulang untuk bersama keluarga dan anak anak. Inikah pengorbanan? Alhamdulilah saya masih lagi bernasib baik...walaupun nasib saya hampir sama dengan pakcik B (berulang alik bertemu keluarga seminggu sekali), saya masih ada tempat tinggal selesa... pekerjaan yang agak baik. Segala puji pujian bagi Allah Tuhan seluruh Alam. Walaupun pakcik B kurang memberi kerjasama kepada kami, tapi masih lagi tidak mendatangkan masalah besar kepada kami di Masjid. Tapi sampai bila golongan golongan ini akan berada disini..? Hakikatnya, dari satu sudut sijil akademik merupakan jalan keluar terbaik dan dari sudut yang lain Ilmu Pengetahuan kunci kebahagian hidup di duia dan akhirat.

Ayah pernah bercerita tentang kemasukkan saya ke Sekolah Agama. Ayah pernah bermasam muka dengan emak kerana emak bersungguh sungguh mahu saya bersekolah di sebuah Sekolah Sains (saya mendapat tawaran bersekolah di Sekolah Sains Muar selepas peperiksaan penilaian darjah lima). Ayah menggunakan kuasa Veto nya! Ayah berpendapat, memadailah kaklong dah masuk sekolah sains. Bersekolahlah saya di sebuah Sekolah Agama di sini. Saya bukan lah jenis orang yang pandai dan bersungguh sungguh dalam akademik, semua keputusan peperiksaan hanyalah sekadar cukup makan sahaja. Namun berkat doa kedua ibubapa akhirnya saya berjaya juga. Saya berjanji akan pastikan anak anak saya mendapat pendidikan yang terbaik.. lebih baik dari ayahnya... malah lebih baik dari emaknya (sebab, emaknya memang genius). Pendidikan, sijil dan ilmu pengetahuan bakal mencorakkan cara hidup kita dimasa hadapan. Perkara itulah yang saya tak sedar dan ambil mudah beberapa dekad dahulu. Zaman dahulu mana ada bimbingan kerjaya seperti sekarang... apa yang saya ingat ketika saya kecil (mengikut ayah bertemu kawan-kawan dan saudara) ayah akan selalu bercerita kepada kawan kawan dan saudara bahawa 'bangah' (saya) ini nanti nak belajar samapai masuk Universiti Al Azhar! Mungkin kerana selalu diulang ulang maka perkataan ayah itu telah menjadi doa. Saya sendiri tidak pasti bagaimana saya boleh tergerak sampai boleh masuk Universiti Al Azhar. Hanya ucapan terima kasih kepada ayah yang sentiasa mengulang ulang perkataan tersebut. Hasilnya... walaupun lambat, tetapi inilah saya sekarang. Kesedaran ibubapalah yang mencorakkan kehidupan kita semua. Mudah mudahan kesudahan yang baik bagi kedua duanya... InsyaAllah.

Lelaki ke tiga yang saya temui ketika berbual dengan seorang sahabat dalam masjid. Beliau datang dalam keadaan kelam kabut dengan pakaian kusut meminta dua ringgit untuk tambahan kepada duitnya yang ada dalam genggaman (beberapa keping duit seringgit) untuk tambang balik ke Kuala Pilah katanya. Saya bertanyakan soalan bonus kepadanya, "Dah smayang zohor ko bolum" dalam loghat Negeri Sembilan. Lelaki ini terus menjawab dengan gaya seorang pemidato, "Saya ada masalah mental... Hari ini tak boleh sembahyang. Allah Ta'ala lagi tahu. Saya stress. Kalam Allah diangkat harini. Saya dulu kerja dekat jabatan ini dulu.. bla ... bla... bla.." Tanya sepatah...dekat dua tiga minit kita kena ceramah. Sahabat saya menghulurkan dua ringgit sambil tersenyum. "Lain kali sembahyang mesti buat juga...mana ada istilah ~terangkat kalam~" katanya. Lelaki tersebut mengucapkan terima kasih sebelum berlalu. Sopan juga dia walaupun ada masalah mental.

Ketika saya turun dari masjid (hari yang sama) seorang pemuda berusia dua puluh lapan tahun.. menahan saya mengadu masih belum makan semenjak semalam. Saya mohon untuk melihat kad pengenalannya, (bukan senang nak lihat K.P orang lain.. mesti ada kad kuasa) memang dia berusia 28 tahun berasal dari Felda serting. bezanya dia dengan orang lain yang datang meminta minta... pemuda ini hanya berdiri di tangga masjid. Tak berminat untuk naik ke masjid. Yang menghairankan, dia sampai hati untuk datang ke masjid memohon bantuan semata mata... tapi bukan untuk sembahyang. (dalam keadaan waras) Saya kasihan.. (mungkin saya memang cepat merasa kasihan kepada orang lain) walaupun pemuda tersebut berbadan tegap dan sihat. Saya nasihatkan dia badan sihat tak layak minta minta dari orang. Ketika saya periksa dompetnya memang dia tiada wang... saya terjumpa gambar serang gadis. "Awek kau?" Saya tanya. "iyo bang" dia jawab. Saya hairan, orang macam ini pun ada. Ketika ditanya, macamana nak kahwin kalau masa tengah sihat ni pun asyik meminta minta dengan orang. Dia tunduk sahaja. Dia berjanji akan ganti semula dalam masa dua tiga hari yang saya tahu itu hanya janji manisnya. Hakikatnya... ini dah masuk seminggu. Bayang pun tak nampak.

Seterusnya seorang lelaki yang datang menemui saya di pejabat. Sekali pandang usia lelaki ini seperti sudah mencecah lima puluhan. Beliau mengadu kepada saya bahawa beliau hendak balik ke Kedah.. bla.. bla... blaa. Kemudian menunjukkan dadanya yang ada kesan pembedahan. Beliau juga menunjukkan kad pengenalannya, saya terperanjat kerana usianya baru tiga puluh empat tahun. Saya merasa simpati, berminat untuk menolongnya. Selepas solat fardu Zohor saya mengumumkan kepada para jemaah yang ada, "si Fulan berbaju biru dibelakang tuan tuan memerlukan sedikit wang untuk tambang balik ke Kedah". Maka dapatlah dikumpulkan sedikit wang anggaran lima puluh ringgit ke enam puluh ringgit agaknya (mungkin lebih).

Nak dijadikan cerita, setelah lelaki ini pergi... pakcik A membuka rahsia bahawa lelaki itu seorang kaki mabuk dan pernah bekerja di satu restoren di bandar Seremban. Saya terkedu, namaun saya memujuk hati saya... Allah memberi peluang kepada jemaah masjid mendapatkan pahala beredekah. Apa yang lelaki itu lakukan dengan wang itu ialah antara dia dengan Allah Ta'ala. Patutlah wajahnya tidak sepadan dengan usia dalam kad pengenalan. Agaknya arak memang peranannya begitu, menyebabkan sesorang tua sebelum waktunya. Menurut Pakcik A lagi, lelaki tersebut akan minum arak dan tinggal di kaki kaki lima sekitar Seremban. Saya mendoakan, mudah mudahan lelaki tersebut pulang ke pangkal jalan. Itulah kekuatan sebuah masjid.. segala jenis manusia akan datang samada untuk mengambil kesempatan atau mengambil menafaat dari Masjid. Yang penting Masjid tidak ditutup untuk golongan seperti ini.. kerana kemana lagi mereka akan pergi. Siapa yang akan bertanggungjawab seandainya golongan yang sebegini (bertindak seperti orang tak waras) memohon bantuan di Gereja atau Kuil?

Inilah dia lelaki lelaki sempat untuk dikisahkan sepanjang keberadaan saya di Masjid Jamek Bandar Seremban. Jika kita hayati maksud Hadith di atas di golongan manakah mereka ini berada? Banyak lagi kisah menarik ketika saya bertugas di Masjid Jamek Pekan Gemas...nanti jika ada kelapangan saya akan ceritakan. Mudah mudahan kita semua dikurniakan rahmat dari Allah. Mudah mudahan juga ada kebaikan yang telah dan bakal mereka lakukan yang akan mendatangkan menafaat kepada diri mereka sendiri.
Wallahua'lam