nuffnang's ads

Tuesday, January 13, 2009

JATUH CINTA

Mungkin sudah jodoh kita ditakdirkan bertemu selepas 6 tahun melayari bahtera perkahwinan bersama insan bernama isteri. Dikurniakan pula 2 puteri serta 2 putera yang comel belaka. Kenapa setelah saya bahagia bersama isteri tercinta dia muncul dalam hidup saya. Saya mengenalinya hanya setelah isteri memperkenalkan saya kepadanya. Mengapa kita dipertemukan sebelum saya kenal isteri saya? Mengapa tidak kita dipertemukan 7 tahun dahulu? Mengapa mesti isteri yang memperkenalkan saya kepadanya??? Mengapa mesti dia berasal dari Johor juga.... walaupun namanya ada iras iras Indonesia, saya pasti dan yakin dia berasal dari Johor. Suratankah atau kebetulan... dia dan isteri berasal dari Johor?

Pertama kali diperkenalkan oleh isteri semasa di Jementah. Kemudian saya terus sentiasa merinduinya. Kadang kadang hampir tak dapat tidur mengenangkannya. Tidur tak lena mandi tak basah. Saya pernah ke Muar beberapa tahun dahulu semata mata untuk menemuinya tetapi tidak kesampaian. Saya sangka saya bertemu dengannya tetapi sebenarnya bukan dia. Dua bulan lepas saya pernah ke lokasi yang sama sekali lagi tetapi pulang tanpa dapat bertemu dengannya kerana tiba tiba isteri mengadu keletihan yang amat sangat. Mungkin isteri saya sudah dapat mengagak apa yang mahu saya lakukan. Saya tidak berputus asa.....

Semalam, setelah lebih enam tahun merindui mee bandung Muar, akhirnya saya dapat juga rasa kehebatannya di sebuah kedai 'ABANG SAYANG' dipinggir sungai Muar. Itupun setelah saya bertanya kepada seorang staff stesyen Petronas di sana. Ada satu kedai lagi katanya di tingkat atas bangunan Mara Muar. Lain kali saya akan kesana.

Banyak jenis makanan yang menjadi kegemaran saya samada local atau international, kalau yang local ... makanan yang dibuat oleh emak (masak lomak cili api) dan emak mertua saya (Ikan masak asam pedas/rebus). Kalau diflashback ketika menuntut di Mesir antara makanan yang menjadi kegemaran saya ialah KABAB di Maidan el Geish, Abbasiah. Orang yang bertanggung jawab memperkenalkan saya pada Kabab di sini ialah Ustaz Hasbullah... Saya masih ingat 1st time makan di sana, ketika saya bertanya kepada Ustaz Hasbullah tentang daun daun hijau dibawah daging Kabab itu boleh dimakan atau tidak. Jawapannya ialah, daun itu hanya hiasan dan untuk menghilangkan bau kambing pada Kabab, tapi menjadi kebiasaan orang arab memakannya. Tak sempat habis Kabab saya dah habiskan daun tersebut. Bayangkanlah, kalau dah daun yang menjadi hiasan saya sanggup habiskan, apatah lagi daging yang enak dihias diatas pinggan. Kabab di Mesir ialah, daging kambing yang dibakar dengan arang dan dimakan dengan sos tahinah (bijan) dan shattah (lada) serta dimakan bersama roti 'aisy (roti macam roti pita). Daging kambing/kibash tersebut hanya diperam dalam bawang,tomato campuran daun-daun hijau selama 2- 3 jam kemudian dibakar macam sate di Malaysia. Kebab yang dijual dipasar-pasar malam (di sini) bukan lah Kabab yang menjadi kegemaran saya semasa belajar dulu. Kalau ada duit lebih saya akan selalu ke Maidan el Geish untuk makan Kabab especially bila ada wang lebih... masuk.

Satu lagi menu istimewa ialah firakh masywi (ayam panggang) di Maidan Abbasiyah. Kalau tak mampu nak makan Kabab (sebab kemelepetan ekonomi... duit tak ada) saya selalu mengunjungi kedai ayam panggang di sini. Rasa-rasanya cara pembuatannya lebihkurang cuma ditukar daging kibash ke ayam sahaja. Harga kabab kalau tak silap dulu
L.E 20 (Egyptian Pound) sekilogram. Biasanya kalau nak kenyang kena lah order dua atau tiga kilo. Berbanding ayam panggang hanya L.E. 7 sebelah ayam. Cara makan pun sama. Alahai, meleleh air liur bila diingat ingat. Lebih menggiurkan lagi bila dimakan dengan Turshi (sayuran jeruk). Mak mertua lalu belakang pun tak perasan. Dulu, semasa saya sering berulang alik ke Makkah, perkara ini tak ketara sangat kerana saya dapat melepaskan rasa gian makan makanan arab disana. Pernah saya makan kabab di kaki Jabal Nur Makkah... pagi hari kadang kadang saya sengaja tak sarapan di hotel hanya kerana hendak makan kacang ful dan roti 'eisy dan to'miah. Tapi, tahun 2009 ini sudah empat tahun saya tidak ke Makkah. Insyaallah akan tiba masanya.

Itu dulu, sekarang saya obsess dengan mee bandung Muar pula. Walaupun banyak makanan lain menjadi kegemaran saya tetapi ketika berada berhampiran negeri Johor ini saya berminat kepada mee bandung ini. Saya pernah tertipu dua tiga kali dalam usaha memuaskan nafsu mee bandung saya ini.... kalau tak silap saya di Batu Pahat saya memesan mee bandung tetapi yang sampai entah mee apa entah, mee siam agaknya. Di Muar ada sekali, ketika baru-baru kawin dulu mee bandung yang diorder, mee manis gula yang sampai. Mak mertua saya pula, ada ke patut di Kuala Pilah diordernya mee bandung..... bayangkan lah jenis mee yang sampai? Tak mee Pilah.

Moral of the story, nak order makanan kena tengok tempat juga. Kalau di kedah jangan order mee bandung... ,minta lah Laksa. Begitu juga di Kota Bharu minta lah nasi kerabu ke nasi dagang ke. Jangan di order masak lomak cili api. Di pihak saya pula, walaupun tersalah order... saya tetap akan makan seperti biasa. Menurut isteri saya, kelebihan ini telah turun kepada anak saya yang lelaki, Umar..... hampir semua yang dihidangkan kepadanya akan diselesaikan dengan penuh rasa hormat. Itu yang ayah saya ajar, "bongah, makan jangan memilih milih... Kita jadi orang pangkal ni kono lapun apo yang orang hidang" Kebetulan position saya buat masa sekarang meletakkan saya di hadapan (pangkal) bersama orang orang kenamaan. Alhamdulillah!


**Makanan di Mesir semua sedap, PizzaHut (dulu la, sekarang dah boikot) Sandwich Firakh Baniah di babai (popoye), Sandwich Kibdah di akhir mahattah haiyu sabiek, Kuftah, Hamam masywi di Hussain, To'miah bil baidh, Shawarma dan firakh di bawah kubri 'atabah, pizza plus di 'Abba 'aqqad (buy 1 free 1).... aduhai. Jom kita pegi Mesir.

No comments: